Avicennia Capital Sdn Bhd (Avicennia Capital), syarikat pegangan insurans dan anak syarikat Khazanah Nasional Berhad, merancang untuk menarik lebih banyak rakan usaha sama sebagai sebahagian usaha pengembangan syarikatnya ke seluruh Asia.

Usaha berkenaan direalisasikan menerusi penganjuran Sidang Kemuncak Pengurusan Pelaburan Insurans Asia ke-4 yang diadakan di Hong Kong, baru-baru ini yang menghimpunkan semua pemimpin industri pada peringkat global.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Alexander Ankel, berkata usaha itu adalah selari dengan trend pasaran yang sentiasa berubah dan komitmen untuk membina pakatan perniagaan itu akan memberi keuntungan pada jangka panjang. “Sebagai syarikat yang mengkhusus dalam industri insurans, kami mempunyai pengalaman, pengetahuan, kemahiran dan bakat untuk membuat penilaian yang tepat sambil menjana nilai lestari bagi pemegang kepentingan bersama dengan pasukan pengurusan anak syarikat pada masa depan,” katanya ketika memberikan ucaptama dalam sidang kemuncak itu.

Negara membangun dapat manfaat

Sidang kemuncak berkenaan bertemakan “Mempelbagaikan Pertumbuhan Dalam Tempoh KetidakTentuan, Ketidakstabilan dan Penumpuan” itu meninjau peluang pelaburan menarik dalam suasana pelaburan yang semakin mencabar, bercirikan hasil bon negatif, perbezaan kadar yang kecil dan ketidakstabilan pasaran kewangan.

Ankel berkata, salah satu matlamat (Avicennia Capital) menganjurkan sidang berkenaan ialah untuk membolehkan penduduk di negara ekonomi yang sedang berkembang mendapat manfaat dan kemudahan penjagaan lestari, khususnya dalam segmen pendapatan sederhana dan sederhana rendah. Mengulas lanjut, beliau berkata, sekarang ini adalah masa sesuai bagi syarikat insurans untuk menyesuaikan diri dengan trend pasaran yang sentiasa berubah dan mereka perlu bijak mengambil kesempatan daripada prospek pelaburan baharu.

“Ekonomi dunia sedang melalui kitaran berkala tetapi tanda-tanda pemulihan dan penyusunan semula sudah mula dilihat. Kami mempunyai asas yang kukuh dan komited untuk membina pakatan perniagaan yang saling menguntungkan dalam jangka panjang” katanya.